Thursday 13 February 2014

Secangkir ibrah di bumi Machang




Perjalan yang mengambil masa selama 5 jam dari kampus Gambang, Universiti Malaysia Pahang yang bermula pada jam 11 malam dan tiba pada jam 4 pagi di bumi Machang telah membawa kami akan pengertian sebenar sebagai seorang yang bergelar sukarelawan. Aktiviti pagi yang bermula selepas solat subuh dan sarapan apabila tibanya di pintu gerbang Pondok Hidayah 2, Kg. Jambu Lawar, Machang. Selepas mendengar kata aluan dari guru, tibanya masa mendengar taklimat dari empunya diri yang telah mengelola dan mentadbir Pondok Hidayah tersebut, Ustaz Ghazali. Seorang yang ‘simple’, beperwatakan bersahaja, hanya mengenakan kopiah dan t-shirt berkolar. Kalau dilihat dari jauh, mungkin mata hanya melihat sebagai seorang yang biasa. Walaubagaimanapun perkongsiannya pada pagi tersebut telah membuat aku berfikir dan membiarkan diri bermuhasabah sendiri. 

Seusai memberi salam sebagai pembuka bicara, Ustaz memula langkah bicaranya dengan pengenalan serba sedikit akan Pondok yang telah dikendalikan beliau ini. Namun apa yang menariknya mengenai beliau, Ustaz Ghazali ini mempunyai 10 orang anak dan hanya berniaga kecil- kecilan di kedai runcit yang dimiliki olehnya. Sepenuh rutin hidupnya berbakti secara sukarela di Pondok tersebut. Pondok yang dihuni oleh ibu-ibu tunggal dan warga emas ini dikelola penuh olehnya dan dibantu dengan beberapa orang pembantunya yang lain. Beliau yang dahulunya seorang yang telah mendapat pendidikan aliran sains di pertingkat spm dan berjaya memperoleh gred 2 dalam keputusan SPM dan telah mendapat tawaran belajar ke Universiti Putra Malaysia dan Institut Perguruan Malaysia. Namun apa yang memusykilkan di benak fikiran aku apabila beliau telah menolak segala tawaran belajar tersebut dan membawa diri ke aliran pondok bagi mendalami ilmu agama semata.
Hati yang kosong, kalau di isi dengan hiburan lalai semata-mata, maka ia akan tetap menjadi kosong, sekiranya hati yang terasa sunyi itu, di penuhkan dengan zikir dan di ikat kepada rabbinya, maka ia menjadi tenang dan damai.

Dan itulah yang berlaku kepada sang Ustaz yang terasa kosong jiwa, dan disuntik minatnya terhadap ilmu agama apabila berjinak-jinak dengan kumpulan ‘bulatan gumbira’ ABIM pada zaman persekolahan beliau. Dan dari situlah terpasang niat untuknya mendalami ilmu agama selama 10 tahun di sebuah pondok yang tidak jauh dari situ yang akhirnya membawa beliau terbang dibumi Syria bagi meneruskan pelajarannya disana. Walaupun dikala itu , bumi Iraq sedang diserang Amerika Syarikat, beliau tetap gigih meneruskan pengajian sehingga tamat. Tibanya dibumi Kelantan, bekerja sebagai guru di institusi swasta pada mulanya dan kini berkhidmat sepenuh masa sebagai guru di pondok tersebut. 

Tiada yang mampu diungkap selain kekaguman yang tersangat tinggi kepada ustaz ini yang dahulunya beraliran sains,mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang sains tapi ditolak, meneruskan pengajian di pondok dan terbang ke bumi Syira, pulang hanya menjadi seorang sukarelawan menguruskan ibu-ibu tunggal dan warga emas yang sedang mengumpul bekalan sebelum bertemu sang Pencipta. Kalau difikir disudut material, beliau sendiri telah bercerita, hidup dia tidak mewah dan tidak berharta, hanya berniaga dikedai runcit dan mempunyai 10 orang anak yang masing-masing di institusi pendidikan dan persekolahan. Kalau difikirkan dengan kelulusannya dari timur tengah itu, beliau layak untuk mendapat sesuatu yang lebih dari ini. Namun keikhlasan akan pengorbanan beliau kepada ibu-ibu disini, Allah membalasnya dengan kurnian cahaya mata yang soleh dan solehah serta empat dari 10 orangnya telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Apa lah sangat dengan kemewahan dunia yang di idamkan kita dengan keindahan akhirat yang kekal abadi kelak. Susuk tubuh yang biasa itu mempunyai auranya tersendiri. Susuk tubuh yang biasa itu tersimpan nilai keikhlasan yang sukar dimiliki oleh orang lain. Kerana keikhlasan beliau itu, Dia membalasnya dari sudut-sudut yang kita tidak sangka. Beliau berkongsi satu masalah dalam pengurusan pondok tersebut, penghuni yang ramai dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Katanya, tidak perlu gusar, kerana ada rezeki untuk mereka penghuni disitu. Kerana ada sahaja tangan-tangan yang ringan menghulurkan sumbangan kepada mereka. Tangan-tangan yang ringan sebagai orang tengah yang mana telah digerakkan oleh sang pengasih kepada ustaz dan seluruh penghuni.

Keikhlasan dalam kehidupan sebenarnya kunci ketenangan hidup yang abadi. Kalau dimulut mengatakan kesukarelaan, moga hati lebih bersinar akan keikhlasan. Kalau keikhlasan mengimpikan nama dan sanjungan manusia, ia sebenarnya menempah bencana, iaitu bencana kepada hati dan tubuh sendiri. Ibrah seorang yang biasa dimata kasar, tapi kagum di mata hati. Moga mampu menjadi ikhlas seperti beliau dan terus berkhidmat sebagai sukarela kepada masyarakat. Mari mencorak masyarakat, mari menjadi pemudah cara.
anda mungkin permata ummah yang sedang ditunggu masyarakat


Dari  kampus kelapangan masyarakat.
Wasalam
Machang,23 Januari 2014

No comments:

Post a Comment